Saturday, 14 May 2011

Ayat 148, Surah An-Nisa - rekod perilaku pemimpin boleh didedah

PUTRAJAYA 29 Feb.2008 – Setiausaha Majlis Syura Pas Pusat, Abdul Ghani Samsudin hari ini mempertahankan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membenarkan calon-calon parti itu mengumpat dan mendedahkan keburukan lawan masing-masing.

Abdul Ghani yang juga calon Pas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burung, Selangor, berkata, pendedahan tentang hakikat sebenar seorang pemimpin dibenarkan oleh syarak bagi mengelakkan orang ramai teraniaya.

‘‘Pendedahan itu dilakukan demi kebaikan dan berdasarkan keilmuan supaya pemilihan pemimpin dibuat dengan teliti dan difikirkan secara matang.

‘‘Konsep ini adalah dibenarkan dalam Islam kerana jika tidak didedahkan keburukan dan kelemahan seseorang pemimpin yang bakal dipilih itu, bimbang nanti berlaku kerosakan yang lebih besar,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.

Abdul Ghani yang juga bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang menyebut Abdul Hadi mengeluarkan ‘fatwa’ membenarkan semua calon Pas yang bertanding mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan masing-masing.

Menurut Abdul Ghani, meskipun Allah menyatakan dalam ayat 148, Surah al-Nisa tentang larangan mendedahkan keburukan seseorang secara terang-terangan tetapi dalam ayat tersebut juga menyatakan perkara itu dikecualikan jika melibatkan mereka yang teraniaya.

‘‘Dalam hal ini, rakyat akan teraniaya jika kita tidak menyatakan hakikat sebenar dan rekod perilaku seseorang pemimpin.

‘‘Sebab asas memilih pemimpin mesti berasaskan kepada ketakwaan mereka kerana mereka yang tinggi martabatnya ialah mereka yang paling bertakwa,” jelas beliau.

Katanya, pendedahan tentang segala kelemahan dan rekod buruk seseorang itu dilakukan demi kepentingan umum seperti skandal atau kelakuan buruknya.

‘‘Ini termasuk dalam perkara amar makruf dan nahi mungkar dan nasihat dalam agama atau hisbah. Ini sama seperti dalam proses memilih pasangan atau meminang, mesti dinyatakan hakikat sebenar latar belakang pasangan kerana proses membina rumah tangga berasaskan kepada mahabbah iaitu kasih sayang,” katanya.

Katanya, konsep tersebut juga boleh diamalkan dalam proses memilih kepimpinan yang membabitkan soal kepentingan negara.


komen papa - ini merupakan petikan yang dibuat dari kenyataan Ust Ghani pada tahun 2008. papa biasa dengar kuliah Ust Ghani semasa beliau menjadi Presiden PUM.

No comments:

Post a Comment