Sunday 21 August 2011

GCM gesa dakwa DUMC


 SHAH ALAM – Gerakan Cegah Murtad (GCM) menggesa penganjur majlis makan melibatkan 12 orang Islam di Damansara Utama Methodist Church (DUMC) Damansara Utama, Petaling Jaya, disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan.

Jurucakap GCM, Hamidzun Khairuddin (gambar) berkata, DUMC melakukan perbuatan mengguris hati orang Islam serta boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, mereka boleh disabitkan hukuman penjara selama dua hingga lima tahun di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan perpecahan harmoni dan perpaduan, rasa tak puas hati dan prejudis berdasarkan agama.

“Seksyen itu melarang perkataan yang boleh menyebabkan perselisihan, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian, kecurigaan atau prejudis dalam usaha memelihara perpaduan dan keharmonian, atas dasar agama di antara warganegara atau sekumpulan warganegara.

“GCM mendesak pihak berwajib menangani isu ini dengan cermat tetapi tegas agar keharmonian, perpaduan dan keamanan di negara ini dapat terus terpelihara. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.

Program itu, katanya, bercanggah dengan beberapa peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang sedia ada, termasuk Perkara 3, 11(4) Perlembagaan Persekutuan, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan bukan Islam) Negeri Selangor 1988 serta Kanun Keseksaan.

Hamidzun berkata, GCM mengulangi keyakinan bahawa masjid, surau, tokong, kuil serta gereja tidak pernah menimbulkan sebarang masalah dalam masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Bagaimanapun katanya, masalah tersebut ditimbulkan DUMC melalui program ‘Thanks Giving Dinner’ yang dilaksanakan 3 Ogos lalu.

Beliau berkata, program yang berlangsung di DUMC itu tidak sepatutnya merosakkan keharmonian dan keamanan yang dikecapi rakyat Malaysia selama ini.

“Umum berpendapat program tersebut telah menimbulkan salah faham yang melampau, kekeliruan dan keresahan serta prejudis dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Nyanyian lagu Alhamdulillahlah dan Allahuakbar serta kuiz Islam dalam program tersebut adalah menghina dan mempermainkan Akidah Islam dan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan umat Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment