Tuesday, 29 November 2011

Dap ganti Pas , tahniah mat sabu




Tan Sri Muhyiddin Yassin meniup semangat juang ketiga-tiga sayap Umno dengan menyeru para srikandi, hulubalang dan permata parti itu berjuang meraih setiap undi rakyat bagi menjamin kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

Merujuk Pergerakan Wanita Umno sebagai srikandi, Pemuda Umno sebagai hulubalang dan Puteri Umno selaku permata parti, Timbalan Presiden Umno itu mahu kekuatan ketiga-tiga sayap itu digerakkan menjadi benteng parti.

Mengingatkan bahawa pilihan raya umum akan datang adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu, Muhyiddin melontarkan soalan untuk renungan para perwakilan:

"Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas daripada genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat Melayu hilang kuasa di bumi sendiri?

Jawapannya tentu sekali tidak, kata beliau, di mana soalannya turut disambut laungan jawapan "tidak" para perwakilan.

"Ayuhlah srikandi Umno! Ayuhlah hulubalang Umno! Ayuhlah permata Umno! Rapatkan saf perjuangan parti! Berdiri teguhlah di belakang Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak). Bangkitlah pertahankan kelangsungan umat Melayu!

"Bangunlah menjulang panji perjuangan! Maralah tewaskan musuhmu di hadapan. Pastikan kemenangan milik kita," katanya penuh bersemangat ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2011, di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Berulang kali meniupkan kata-kata semangat dalam ucapan bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad", Timbalan Perdana Menteri mahu anggota ketiga-tiga sayap pergerakan parti turun ke seluruh 222 kawasan Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7,470 pusat daerah mengundi bagi memastikan setiap undi rakyat berpihak kepada BN.

"Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah (ke semua kawasan). Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita," katanya.

Menyebut satu persatu pemimpin sayap parti - Ketua Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin - Muhyiddin mahu ketiga-tiga mereka menggerakkan kebangkitan sayap berkenaan melunaskan tanggungjawab moral mereka sebagai pejuang Umno dengan membantu rakyat, memberi tumpuan kepada masalah mereka, merasai denyut nadi, rintihan serta keluhan mereka.

Kepada Pergerakan Wanita, beliau mengingatkan mereka untuk memperkukuhkan gerak kerja Jalinan Rakyat dan memperhebatkan aktiviti Skuad Sayang dengan pendekatan yang tersusun dan teratur memandangkan pengaruh sayap parti itu amat kuat dalam masyarakat.

"Kajian sikap mesti tepat, penyelarasan dan kerjasama dengan kepimpinan bahagian mesti mantap," katanya.

Bagi Pemuda Umno pula, Muhyiddin mahu mereka memperkukuhkan kekuatan mental dan fizikal untuk bertarung dalam peperangan yang paling perit dalam sejarah parti selain menyelami aspirasi generasi seangkatan dengan mereka.

"Gerakkan barisan pemudamu, jadilah benteng UMNO yang kukuh. Turun ke akar umbi, dekati dan selamilah aspirasi generasi seangkatan denganmu," katanya dan mengingatkan bahawa landskap politik kini adalah milik orang muda.

Muhyiddin juga mahu Puteri Umno mengembalikan kegemilangannya sebagai sayap tempat bernaung remaja dan wanita muda, dan membawa golongan itu ke pangkuan Umno supaya parti menjadi lebih kuat.

"Dalam kelembutan Puteri, serlahkan peranan anda untuk membawa golongan wanita muda ke pangkuan UMNO. Bingkaslah untuk menarik sokongan rakyat kepada parti," katanya.

Muhyiddin berkata setiap anggota bertanggungjawab dalam menentukan kekuatan parti yang hanya akan tercapai sekiranya mereka sentiasa bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) serta mengenepikan perbezaan dan persengketaan yang wujud dalam parti.

Peringatan juga diberi kepada ketiga-tiga anggota sayap Umno itu supaya sentiasa setia kepada parti dan pemimpin serta tidak melakukan sesuatu yang boleh mencemar nama serta merugikan parti.

"Jangan lari daripada medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan 'mandikan' calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya.

"Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti," katanya.

Mengenai calon pilihan raya, Muhyiddin mahu ketiga-tiga sayap parti itu memberi sepenuh keyakinan kepada pilihan pucuk pimpinan parti.

"Calon adalah senjata parti untuk menang. Yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat. Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka," katanya.

Muhyiddin berkata sebagai sebuah organisasi, Umno tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan, namun parti sentiasa bersedia mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan.

"Umno bukanlah malaikat. Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan," katanya.

Sumber -- BERNAMA

- Posted using BlogPress from my iPad

No comments:

Post a Comment