Monday, 16 January 2012

Pukulan hakim boleh buat Anwar Ibrahim "maut".

'Pukulan maut' kepada pembangkang



Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat memberi 'pukulan maut' kepada pakatan pembangkang yang selama ini mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang itu.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga giat memukul canang di dalam mahu pun luar negara kononnya wujud konspirasi bahawa beliau akan dikenakan hukuman penjara.

Malah jelas beliau, sehingga ke saat-saat akhir sebelum keputusan itu diketahui, pakatan pembangkang turut menyebarkan berita bahawa Anwar akan dihukum sambil menyiapkan wasiat dan amanat termasuk mengenal pasti siapa penggantinya.

"Gambaran yang diberi selama ini sama ada di dalam mahupun luar negara ialah ia satu konspirasi yang telah mempunyai skrip dengan berakhir dia dihukum. Malah kalau kita tengok ucapan dia semasa di dalam mahkamah pada penutup kes pendakwaan, jelas menyatakan ia satu konspirasi dan dia memang akan dihukum.

"Tiba-tiba semua itu tidak berlaku dan keputusan mahkamah jelas membuktikan ia satu pembohongan. Ini (keputusan mahkamah) merupakan satu pukulan maut kepada pembangkang dan mereka sebenarnya tidak tahu bagaimana nak jawab," katanya.

Beliau seterusnya berkata, selain pihak pendakwa yang perlu merayu kes tersebut, Anwar juga sepatutnya berbuat perkara sama memandangkan keputusan penghakiman tidak mengikut 'skrip' yang dijaja iaitu kononnya beliau akan dipenjarakan.

"Sebenarnya yang sepatutnya merayu adalah Anwar. Dia yang sepatutnya merayu keputusan hakim yang bercanggah dengan 'skrip' seperti yang dia kelentong di seluruh dunia," katanya.

Mengenai Datuk Dr. Hasan Ali yang digugurkan daripada jawatan Exco Selangor, katanya, ia jelas membuktikan perjuangan Islam oleh Pas sudah berkubur.

Jelas beliau, Pas kini memasuki era baru perjuangan sekular yang mengejar kuasa dengan apa cara sekali pun.

Ditanya kemungkinan Hasan akan menyertai UMNO, beliau menasihatkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu agar tidak menyertai mana-mana parti buat sementara waktu ini.

Ini kerana tambahnya, Hasan kini dianggap sebagai 'institusi' yang membawa harapan dan suara umat Islam khususnya orang Melayu dalam menjaga serta membela kebajikan mereka.

No comments:

Post a Comment