Monday 16 January 2012

Dr Hasan Ali berpatah arang dengan Pas




Bekas Exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali sekali lagi menegaskan dirinya tidak berminat untuk menyertai Umno walaupun dipecat keahlian daripada PAS minggu lalu.

Katanya, dalam hatinya masih bersama PAS dan sayangkan parti itu, malah tetap menganggap Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai

Presiden dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai guru yang mampu membimbingnya memperjuangkan Islam.

Namun tegasnya, beliau hanya akan menyertai PAS semula jika golongan ‘parasit’ yang ada dalam parti itu sudah dihapuskan dan PAS sudah kembali kepada perjuangan asalnya.

“Bila parasit ni dah tiada, bila PAS dan kembali kepada landasannya memperjuangkan Islam, Hasan Ali sendiri akan isi borang baru daftar masuk jadi ahli PAS,” katanya dalam sidang media dikediamannya di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang mengecamnya apabila ditemuramah secara langsung oleh stesen TV milik Umno TV3 bulan lalu kerana ia tidak melanggar undang-undang parti.

Malah dakwanya tindakannya itu memberi impak positif apabila ahli PAS, dan rakan perjuangan parti politik Pakatan Rakyat dan masyarakat lain mula buka mata dan pertimbangkan secara serius mengenai perkara yang dibangkitkannya.

“Semasa pertemuan di JKR 10 27 Disember lalu, Presiden sendiri beritahu saya tiada dalam mana-mana peraturan, undang-undang, dasar atau Perlembagaan PAS yang melarang ahlinya bertemu dengan Umno.

“Kalau ada katanya tindakan itu dianggap seperti berdakwah,” katanya.

Tutup mulut




Beliau turut menghormati arahan Nik Aziz yang menasihatinya supaya tutup mulut daripada terus mengkritik dasar parti.

“Kalau nak tutup mulut, semua orang kena tutup mulut termasuk orang yang suruh tutup,” katanya sinis.

Ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan untuk kembali dalam PAS, beliau sebaliknya meminta kepada semua pihak supaya memberikan dirinya sedikit ruang dalam ‘tempoh bertenang’ untuk memikirkan semula mengenainya.

“Saya perlu buat keputusan yang adil untuk diri saya, keluarga, masyarakat, dan umat keseluruhannya.

“Dalam apa keadaan pun saya telah dan akan terus berjuang baik di
dalam mahu pun di luar PAS.

Peluang dan ruang terbuka luas untuk saya gunakan sepenuhnya, tidak sesempit yang dijangkakan oleh sesetangah pihak,” katanya.

Sumber - FMT

1 comment:

  1. kalau DHA ckp serupa bikin, aku sokong. kalau stakat nk lepas tengkok, go 2 hell. amanah la DHA...

    ReplyDelete